ALLAUDEEN pada sidang media Op Noda di sebuah hotel di Jalan Pasar Baharu, Pudu, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ALLAUDEEN pada sidang media Op Noda di sebuah hotel di Jalan Pasar Baharu, Pudu, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 50 laluan 'hot spot' dikenal pasti sebagai aliran trafik tinggi dan 11 lokasi 'black spot' membabitkan kawasan sering berlaku kemalangan di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seramai 140 pegawai dan anggota polis trafik akan ditugaskan sempena Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina.

"Antara kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti adalah di Jalan Tun Razak susur dari Bulatan Pahang, Jalan Cheras-Jalan Ikan Ayu, Jalan Kampung Kerinchi-Bangsar South dan Jalan Sultan Ismail-Jalan Bukit Bintang.

"Antara lokasi 'black spot' pula adalah di Jalan Loke Yew, Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Kuching," katanya pada sidang media di Jalan Pasar Baharu, Pudu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Habibi Manjiji.

Allaudeen menasihatkan orang ramai supaya mengikut jadual perjalanan yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya.

"Mereka yang mahu pulang ke kampung perlu rehat secukupnya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan berhemah semasa perjalanan pulang ke kampung.

"Jangan menjadikan hari perayaan ini sebagai malapetaka. Tidak ada apa yang perlu dikejar dan pastikan perjalanan anda ke destinasi selamat," katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dikunci sebelum ditinggalkan untuk pulang ke kampung halaman.

"Orang ramai boleh memberi pemakluman di balai berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang sudah dinaik taraf supaya pihak polis melakukan pemantauan di rumah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 11:56 PM