MOHD Hussein Mohd Nasir atau Datuk Roy ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah Jana Wibawa. - Foto ihsan SPRM
MOHD Hussein Mohd Nasir atau Datuk Roy ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah Jana Wibawa. - Foto ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, hari ini menahan seorang individu yang digelar 'Datuk Roy'.

Beliau ditahan jam 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Sumber berkata, suspek berusia lingkungan 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan Jana Wibawa.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur jam 9 pagi esok bagi tujuan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM Kuala Lumpur mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

SPRM dalam kenyataan, memaklumkan lelaki yang dikesan adalah Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, yang juga dikenali sebagai 'Datuk Roy' dengan alamat terakhir di No 3, Lorong 3 RRM Semambu, 25350 Kuantan, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 11:48 PM