PRESIDEN sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disyaki menjadi dalang utama ditahan reman SPRM kerana jual Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu. FOTO Ihsan SPRM
PRESIDEN sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disyaki menjadi dalang utama ditahan reman SPRM kerana jual Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu. FOTO Ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk dua wanita kerana disyaki terbabit dengan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu yang membawa gelaran Tan Sri dengan bayaran kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber, suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan pada 30 November lalu di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

"Manakala dua lagi suspek iaitu wanita berusia 40-an serta lelaki berusia 30-an ditahan secara berasingan pada 4 dan 6 Disember lalu," katanya.

Sumber berkata, suspek terbaharu ditahan kira-kira jam 3 petang di Melaka kelmarin adalah Presiden sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) disyaki menjadi dalang utama menetapkan harga bagi calon berminat mendapatkan pingat kebesaran dan mengarahkan ahli sindiketnya iaitu suspek kedua, lelaki berusia 50-an yang menyamar sebagai Tengku bagi mendapatkan bayaran bagi menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa.

"Isteri suspek kedua pula dipercayai terbabit bersama dua lagi suspek yang menyamar sebagai ahli perniagaan sebuah syarikat berasaskan pertanian bagi menguruskan transaksi penerimaan wang tersebut.

"Sindiket ini dipercayai mula menjalankan kegiatan ini sejak 2020 dan memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang di atur melalui pintu belakang, ini adalah benar-benar tulen," katanya.

Sumber berkata, salah seorang mangsa lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai membayar kira-kira RM1.2 juta untuk mendapatkan gelaran Tan Sri menerusi beberapa transaksi bank kepada sindiket ini dan SPRM sedang berusaha mengesan lima lagi individu yang turut menjadi mangsa sindiket.

Menurut sumber lagi, bayaran dikenakan berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000; Datuk Seri (RM250,000) manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

Susulan penahanan terbabit, tiga suspek yang ditahan disambung reman selama tiga hari manakala seorang suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

"Suspek wanita yang ditahan pada 4 Disember lalu ditahan reman selama empat hari manakala suspek utama ditahan reman selama lima hari bermula semalam sehingga 11 Disember 2023 selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin diMahkamah Majistret Putrajaya, semalam," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM kini sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dengan sindiket terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 11:58 AM