Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Program memperkayakan sumber perikanan yang dilaksanakan kerajaan membuahkan hasil apabila Terengganu mencatatkan jumlah pendaratan ikan bernilai RM237.8 juta tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak 46.7 tan metrik tangkapan direkodkan tahun lalu berbanding hanya kira-kira 33.5 tan metrik pada 2022.

Katanya, peningkatan hasil tangkapan adalah sebanyak 13.2 tan metrik disumbangkan oleh nelayan pantai zon A.

Katanya, peningkatan jumlah hasil tangkapan ikan di negeri ini membuktikan bahawa program memperkayakan sumber perikanan termasuk aktiviti melabuhkan unjam dan tukun dilakukan kerajaan berhasil.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan persekutuan akan meneruskan program melabuhkan unjam dan tukun di perairan negeri ini dalam usaha meningkatkan pendapatan nelayan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bertujuan menambah pendapatan nelayan, tetapi golongan itu terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya pencerobohan nelayan asing.

Katanya, kerajaan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan kerana berjaya menahan tiga buah bot pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan di perairan di negeri ini baru-baru ini.

"Tiga bot itu ditahan selepas menangkap ikan menggunakan pukat tunda pada jarak enam batu nautika dari pantai.

"Nelayan diminta turut membantu agensi penguat kuasa kerajaan termasuk Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasa Maritim (APMM) untuk menyalurkan maklumat mengenai pencerobohan termasuk oleh nelayan asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 11:29 AM