PELANCARAN tukun tiruan keluli oleh Timbalan Ketua Pengarah perikanan Malaysia, Johari Ramli bersama-sama Pengarah Perikanan Kedah, Teo Siong Wan.
PELANCARAN tukun tiruan keluli oleh Timbalan Ketua Pengarah perikanan Malaysia, Johari Ramli bersama-sama Pengarah Perikanan Kedah, Teo Siong Wan.
TUKUN bernilai RM 32,000 setiap satu itu dibina dengan kepakaran tempatan.
TUKUN bernilai RM 32,000 setiap satu itu dibina dengan kepakaran tempatan.
BILANGAN ikan semakin meningkat.
BILANGAN ikan semakin meningkat.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Seringkali kita mendengar keluhan nelayan kecil mengharungi aktiviti seharian di laut.

Bukan saja bekalan ikan semakin berkurangan, tetapi berdepan isu pencerobohan bot tunda di kawasan tangkapan.

Kegiatan nelayan bot tunda ini bukan saja menyebabkan berkurangnya bilangan ikan, tetapi merosakkan tuas tempat pembiakan ikan.

Lantaran itu, Jabatan Perikanan Negeri Kedah mengambil inisiatif membangunkan tukun tiruan jenis keluli bagi membantu mengatasi masalah golongan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Perikanan, Johari Ramli berkata, tukun tiruan keluli ini mampu menarik perhatian ikan dan mempercepatkan proses pertumbuhan plankton.

Malah, binaan tukun tiruan menghalang bot besar daripada melabuhkan pukat di situ.

Menurutnya, pembinaan tukun terbabit berikutan kejayaan penggunaan tukun jenis tayar, konkrit dan bangkai kapal yang diperkenalkan sejak tahun 1975.

"Tukun yang mampu bertahan selama 50 tahun itu memberi manfaat kepada lebih 4,000 nelayan di pantai barat Kedah," kata Johari selepas melancarkan Program Melabuhkan Tukun Tiruan Keluli Negeri Kedah 2014 di Kuala Jerlun, baru-baru ini.

Tukun keluli yang menggunakan kepakaran tempatan ini turut mendapat kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Kedah, Teo Siong Wan berkata, pihaknya mendapat peruntukan RM2.5 juta daripada kerajaan untuk membina 55 tukun dengan setiap satunya mempunyai berat 13 tan.

Ia dilabuhkan di perairan Kedah bermula dari Kuala Sala sehingga Kuala Jerlun sejak Oktober lalu.

"Tukun tiruan itu kini menjadi pusat tumpuan ikan seperti kerapu, tenggiri dan jenahak.

"Pada tahun 1985, pendaratan ikan di Kedah sebanyak 75,615 tan metrik dan meningkat kepada 112,876 tan metrik pada 2013," katanya.

Pengerusi Komuniti Nelayan Kuala Jerlun, Shukri Ismail berkata, sejak program tukun itu diperkenalkan, nelayan mampu memperoleh ikan sehingga 60 kilogram sehari.

"Peningkatan hampir 100 peratus berbanding sebelum ini," katanya.

Nelayan ini turut menawarkan perkhidmatan bot memancing kepada kaki pancing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:00 AM