JAMALUDDIN menunjukkan kawasan tong sampah yang sering diselongkar kera liar bagi mendapatkan makanan di Kuarters Penjawat Awam Presint 15, Putrajaya. FOTO SAMADI AHMAD
JAMALUDDIN menunjukkan kawasan tong sampah yang sering diselongkar kera liar bagi mendapatkan makanan di Kuarters Penjawat Awam Presint 15, Putrajaya. FOTO SAMADI AHMAD
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Pusat pentadbiran negara yang masih mengekalkan zon hijau mampan bertujuan meningkatkan kesejahteraan penghuni, seiring konsep Bandar Dalam Taman yang menjadi teras pembangunannya.

Ia secara tidak langsung turut menjadi 'rumah' kepada hidupan liar berdasarkan pembukaan taman-taman yang ada, antara lain untuk menjadi tempat perlindungan buat haiwan.

Namun, dalam memastikan konsep itu terpelihara, ada hidupan liar yang kini menjadi ancaman buat penduduk terutama di Presint 15 yang menempatkan kuarters penjawat awam.

Penduduk mendakwa gangguan kera mengganggu kehidupan kerana ia bukan hanya menyelongkar tong sampah, tetapi merosakkan kenderaan dan dibimbangi bertindak ganas terhadap kanak-kanak.

Ketika tinjauan dibuat, wartawan mendapati sampah sarap bertaburan di luar rumah sampah dipercayai diselongkar haiwan liar.

Terdapat satu perangkap besar diletakkan Perbadanan Putrajaya (PPj) berhampiran rumah sampah itu sebagai inisiatif menangani masalah.

Suri rumah, Rahayan Mat Nayan, 38, berkata, dia sudah berhadapan gangguan kera sejak tinggal di kuarters itu, namun situasi semakin buruk kebelakangan ini hingga merisaukan penduduk.

Menurutnya, haiwan itu akan keluar secara berkumpulan lima hingga enam ekor untuk mencari makanan pada pagi dan petang serta turut mengotorkan persekitaran dengan menyelongkar sampah di rumah sampah berdekatan kediaman penduduk.

Katanya, haiwan itu juga kerap memanjat bumbung kenderaan yang dipakir berhampiran rumah sampah, hingga ada pengadu mendakwa bilah pengilap cermin dirosakkan.

"Kami merayu pihak bertanggungjawab agar mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini terutama buat kanak-kanak yang bermain di kawasan berhampiran," katanya ketika ditemui.

Peniaga, Jamaluddin Sarwan, 52, berkata, sejak mengusahakan kedai runcit di kawasan perumahan itu lebih 10 tahun lalu, premis perniagaannya sudah tiga kali diceroboh kera untuk mendapatkan barangan makanan.

Katanya, kera liar akan merayau mencari makanan sekiranya sampah sudah dikutip kontraktor pembersihan dan sebelum ini, ia pernah memasuki rumah penduduk di tingkat satu dan dua, mencari makanan.

Jamaluddin mendakwa kehadiran kera liar terbabit semakin banyak sejak akhir-akhir ini kerana terdapat hutan simpan bersebelahan kuarters yang menjadi habitatnya.

"Tindakan orang luar yang sering memberi makanan kepada haiwan ini di tepi jalan juga perlu dihentikan kerana ia mengundang lebih banyak kera yang datang," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 7:05 AM