ENAM kediaman di Kampung Baru musnah dalam kebakaran.
ENAM kediaman di Kampung Baru musnah dalam kebakaran.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: "Saya sangkakan ada orang bakar sampah sebelum lihat api keluar dari kepala tong gas," kata Zaini Jumari, 63.

Zaini adalah penduduk Kampung Baru, di sini, yang juga saksi kebakaran yang memusnahkan enam kediaman, hari ini.

Menurutnya, kejadian disedari berlaku kira-kira 10.15 pagi ketika dia dalam perjalanan ke Jalan Raja Muda Musa 3.

"Mula-mula saya ingat ada orang bakar sampah, tapi asap makin lama makin tebal sebelum saya dapati ada api keluar dari tong gas.

"Saya kemudian bertindak memberitahu pemilik rumah dan mengetuk setiap pintu rumah serta meminta mereka menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, terdapat dua individu yang sedang tidur di salah sebuah rumah berkenaan, namun berjaya menyelamatkan diri.

"Tong gas berkenaan dipercayai milik peniaga di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran berkenaan pada 10.18 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota bersama dua jentera, sebuah jentera 'Light Fire Rescue Tender' (LFRT), satu 'water tanker' dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setiba di tempat kejadian, enam kediaman hangus dijilat api dan anggota bomba yang tiba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

"Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 1:38 PM