Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini, bagi berdepan pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Beliau yang hadir dengan berkerusi roda turut ditemani isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tiba di kompleks mahkamah di sini, 8.40 pagi tadi.

Beliau yang memakai kemeja biru turut dilihat melambai ke arah puluhan pengamal media yang menunggu kehadirannya seawal 8 pagi tadi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Daim akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Daim dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil rakaman percakapannya pada Khamis lalu.

Pada Rabu lalu, SPRM mengesahkan pihaknya mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim di mahkamah, namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan bekas menteri kewangan itu.

Sementara itu isteri Daim, Na'imah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada 23 Januari lalu atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

DAIM berkerusi roda hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
DAIM berkerusi roda hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Sebelum ini, Nai'mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 9:02 AM