LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Isteri kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid mengesahkan beliau akan didakwa di mahkamah esok.

Na'imah berkata, hari ini sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara tiba-tiba hadir di hospital lokasi suaminya dirawat untuk merakam keterangannya.

"Ini berlaku walaupun saya memberi jaminan kepada mereka bahawa saya akan memberi kenyataan sebaik sahaja prosedur perubatan suami saya selesai pada Selasa.

"Kemudian saya diberitahu akan didakwa pada Selasa (esok) jam 9 pagi mengikut Seksyen 36(2) SPRM 2009 kerana kononnya gagal mematuhi notis untuk mendedahkan maklumat mengenai aset," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, beliau meminta pendakwaan dilakukan sehari kemudian iaitu pada Rabu selepas prosedur perubatan suaminya selesai, namun ditolak pihak SPRM.

"Mereka berkeras akan mendakwa saya esok. Saya akan ke mahkamah esok dan lawan pertuduhan ini," katanya.

Terdahulu, Berdasarkan semakan Sistem e-Filing (EFS) mahkamah, tertera nama Na'imah Abdul Kadir tersenarai di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi jam 9 pagi.

Difahamkan Na'imah akan didakwa mengikut Akta SPRM 2009.

Na'imah menjadi tumpuan ketika siasatan SPRM terhadap Daim dengan mendakwa suaminya yang juga ahli perniagaan dianiaya atas kejayaannya.

Dia menegaskan bahawa keluarganya tidak pernah merahsiakan memiliki aset di luar negara yang didakwa hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan sebelum pembabitan Daim dalam politik.

SPRM sedang menyiasat Daim berhubung pendedahan kekayaannya dalam kebocoran rekod kewangan antarabangsa yang dikenali sebagai Kertas Pandora.

From: Hafidzul

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 9:49 PM