BAYI lelaki yang ditinggalkan dalam kotak di perkarangan sebuah kuil di Tampoi di sini, 8 Januari lalu. FOTO tular
BAYI lelaki yang ditinggalkan dalam kotak di perkarangan sebuah kuil di Tampoi di sini, 8 Januari lalu. FOTO tular
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris kepada bayi lelaki yang ditinggalkan dalam kotak di perkarangan sebuah kuil di Tampoi di sini, 8 Januari lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan berbalut tuala berwarna merah putih.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, bayi terbabit ditemukan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan.

Menurutnya, laporan dibuat anggota polis yang bertugas di Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Katanya, bayi terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menerima rawatan sewajarnya.

"Bayi didapati sihat dan dibenarkan dibawa pulang.

"Pelindung kanak-kanak akan mendapatkan tempat perlindungan sementara yang sesuai dan suatu perintah jagaan sementara akan dipohon di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru untuk membolehkan pelindung kanak-kanak membuat urusan dokumentasi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Cadangan anak pelihara akan dipanjangkan kepada JKM Johor," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Adnan berkata, orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris bayi berkenaan boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Johor Bahru, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606.

Penemuan bayi berkenaan yang berkulit cerah itu tular di Facebook (FB) hingga mendapat perhatian ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 12:44 PM