BAYI lelaki diberi nama Mateen. FOTO Ihsan JKM.
BAYI lelaki diberi nama Mateen. FOTO Ihsan JKM.
Mary Victoria Dass


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris bayi lelaki ditemui hanya dibalut kain kuning di luar pagar rumah seorang penduduk Taman Kota Masai, Pasir Gudang, 14 April lalu.

Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Maghfurah Mohd Zahir berkata, ketika ditemui bayi berkenaan cukup sifat, masih bertali pusat dan dipercayai baru dilahirkan.

Beliau berkata, penduduk bertindak menyelamatkan bayi itu dan membawanya ke balai polis sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Selepas selesai menjalani pemeriksaan bayi itu disahkan sihat dan tidak mengalami sebarang masalah. Bayi ini kemudian dirujuk kepada JKM untuk penempatan.

“Mengikut laporan diterima, tiada sebarang dokumen atau barangan lain ditemui bersama bayi itu kecuali tuala warna kuning yang membaluti tubuhnya,” katanya.

Maghfurah berkata, bayi berusia 22 hari itu dinamakan sebagai Mateen dan dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan Pemeliharan dan Perlindungan.

“Sepanjang kanak-kanak itu berada di hospital tiada lawatan dan tuntutan dibuat daripada waris terhadap kanak-kanak.

“Mateen ditempatkan sementara di Institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor Bahru menerusi Perintah Jagaan Sementara di bawah Subseksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru,” katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat beberapa permohonan daripada pasangan suami isteri bagi menjadikan bayi berkenaan sebagai anak angkat tetapi tiada keputusan diambil.

“Kami berharap waris bayi berkenaan tampil membincangkan masa depannya. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan waris bayk berkenaan diminta menghubungi Pelindung kanak-kanak, Mastura Mohd Ismail di talian 07-2232606 / 607,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 2:06 PM