MOHAMAD pada sidang media pada program Santai Akuakultur Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media di Ladang Pembenihan dan Ternakan Ikan Air Tawar, Bestari Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
MOHAMAD pada sidang media pada program Santai Akuakultur Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media di Ladang Pembenihan dan Ternakan Ikan Air Tawar, Bestari Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid dan Amirul Aiman Hamsuddin


Rawang: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyiasat kenyataan Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) mendakwa terdapat 'games' (permainan) tertentu di dalam Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang berkait isu beras.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mahu menuduh sesiapa dan sebarang tindakan selanjutnya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan.

"Itu saya kata dalam siasatan, saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi kita memandang serius apa saja perkara.

"Ataupun struktur hal beras dan padi itu yang dibentuk pada tahun 2008, apakah perlu dikaji semula.

"Jadi (mungkin) pihak kerajaan akan menilai semula dari sudut pengkajian semula struktur organisasi hal beras di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat ARC Berkat Agrofood Sdn Bhd sempena program Santai Akuakultur Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad juga mengulas dakwaan mengenai benih padi sah yang tidak bermutu diedarkan sejak 10 tahun lalu kepada pesawah.

"Saya akui (isu) benih padi ini sentiasa dalam permasalahan. Jadi kita akan menangani masalah itu dengan cara terbaik," katanya.

Mengenai pertemuan Jumaat lalu antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) bagi perbincangan mengenai isu-isu berkaitan industri padi dan beras, Mohamad meminta semua pihak bersabar kerana ia masih di peringkat perbincangan dan siasatan.

Harian Metro pada 12 Januari lalu melaporkan Presiden Barim, Ismail Awang dilaporkan berkata, ada 'games' tertentu di dalam Bernas dan pendedahan persatuan pengilang padi berhubung dakwaan berlaku isu kartel mungkin benar berlaku.

"Kenapa sebahagian besar pasar raya dapat bekalan menjual beras putih tempatan namun apabila ahli Barim nak dapatkan bekalan beras tempatan daripada Bernas dikatakan stok bekalan tiada.

"Bermakna berlaku apa yang disebutkan ada kartel mengawal hal itu, jika tidak mana mungkin ahli Barim tidak mendapat bekalan," kata Ismail.

Pengerusi Persatuan Pengilang-Pengilang Beras Melayu Malaysia, Mohamad Termizi Yop turut dilaporkan berkata, selepas 10 tahun pihak berkenaan mengeluarkan benih padi sah yang dikatakan bermutu kepada pesawah, sepatutnya hasil padi meningkat namun apa berlaku sekarang hasil menurun.

"Itu yang kita masih mengimport. Sepatutnya kita tak perlu mengimport beras dari luar negara. Inilah 'games' pihak yang kawal benih padi.

"Mereka bagi benih yang tidak bermutu menyebabkan padi tak terhasil dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 1:48 PM