GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) mendakwa kebanyakan ahlinya masih belum mendapat bekalan beras putih tempatan (BPT).

Presidennya Ismail Awang berkata, keadaan itu seperti bertentangan dengan kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras yang mengeluarkan arahan pembelian beras putih tempatan.

"Sebenarnya isu bekalan beras putih tempatan sememangnya dalam keadaan cukup tenat.

"Ahli persatuan pemborong beras BARIM kebanyakannya masih belum dapat bekalan beras putih tempatan.

"Walaupun pihak kawal selia padi beras sudah mengeluarkan arahan pembelian beras putih tempatan, tetapi bekalannya mana?" katanya.

Beliau turut mempersoalkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berhubung 'kehilangan' bekalan beras putih tempatan.

"Kilang beras Bernas, ke mana perginya bekalan beras tempatan? Takkanlah habis semua dijual, jika benar habis dijual, mana perginya beras tersebut di pasaran.

"Rata-rata pasar raya dan pasar mini tiada beras putih tempatan. Yang ada banyak hanyalah beras putih import dengan harga mahal. Ini bertentangan dengan kenyataan Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang menyebut isu bekalan beras tempatan akan pulih...pulih apanya dalam pasaran pun tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 3:35 PM