SITI Khadijah menunjukkan bangsal rumahnya yang dirempuh sebuah kereta ketika dia sedang minum petang bersama suami. FOTO Nazdy Harun
SITI Khadijah menunjukkan bangsal rumahnya yang dirempuh sebuah kereta ketika dia sedang minum petang bersama suami. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila sebuah kereta terbabas sebelum hampir merempuh pasangan itu yang berada di hadapan rumah di Kampung Chapu, di sini, Jumaat lalu.

Siti Khadijah Draman, 68, berkata, kejadian berlaku jam 4.30 petang ketika dia sedang minum petang bersama suaminya.

Menurutnya, suami, Yusof Stapa, 67, yang baru pulang dari kerja mengajaknya minum petang di luar rumah.

Katanya, ketika asyik berbual tiba-tiba terdengar bunyi kuat dan ketika itu dia sangkakan lori yang melalui jalan namun tanpa diduga sebuah kereta meluncur dan merempuh kereta milik suaminya yang diparkir di hadapan rumah.

"Proton Iswara itu merempuh bahagian belakang kereta suami. Saya dan suami pula berada di sebuah meja bersebelahan Perodua Viva milik suami dan akibat rempuhan kuat itu kereta terseret ke kiri.

"Proton Iswara yang dipandu remaja itu merempuh pula bangsal di sebelah kanan rumah sebelum terperosok ke dalam longkang," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana Perodua Viva milik suami berada di hadapan dan menjadi penghalang ketika Proton Iswara itu terbabas.

Katanya, sekiranya kereta suaminya tiada, sudah tentu Proton Iswara itu merempuhnya secara terus tanpa halangan.

Khadijah berkata, rumahnya yang terletak berhampiran jalan utama Kuala Berang-Sungai Tong, sememangnya terdedah kepada kejadian kenderaan terbabas dan kemalangan.

"Kejadian ini kali pertama berlaku dan hingga kini saya masih trauma untuk berehat di bahagian luar rumah kerana teringatkan kejadian ngeri yang hampir meragut nyawa itu," katanya.

Menurutnya, bangsal sebelah kanan rosak teruk akibat dirempuh kereta berkenaan.

Katanya, dia tidak mengalami sebarang kecederaan manakala suami hanya mengalami luka kecil pada kaki akibat terkena kerusi batu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 1:31 PM