SERAMAI 30 mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Mellenia di Debak, Betong. FOTO Ihsan JPBN Sarawak
SERAMAI 30 mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Mellenia di Debak, Betong. FOTO Ihsan JPBN Sarawak
Mohd Roji Kawi

Kuching: Pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir pertama di Sarawak pada tahun ini dibuka di Dewan Mellenia, Debak, dalam Bahagian Betong, awal pagi tadi, selepas beberapa kampung di daerah itu dilanda banjir sejak semalam.

Seramai 30 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan bermula 1.30 pagi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, tiga kampung di daerah Debak dilanda banjir susulan hujan yang melanda sejak malam kelmarin.

Kampung terbabit ialah Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu.

"Sebanyak enam rumah penduduk terjejas akibat banjir yang berlaku selepas hujan lebat berterusan.

"Penduduk yang dipindahkan adalah 11 lelaki dan 12 wanita dewasa serta empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, cuaca di daerah terbabit baik hari ini namun pemantauan terus dijalankan bagi memastikan tindakan segera diambil, jika hujan lebat semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 7:50 AM