GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Seorang pelajar Tingkatan 3 bersekongkol dengan dua rakan untuk menipu ibunya kononnya ditahan 'polis' dan memerlukan RM25,000 untuk melepaskannya selepas menghilangkan diri dari rumah 27 November lalu.

Lebih menyedihkan wang hasil penipuan licik itu adalah bersumberkan simpanan Tabung Haji wanita terbabit dan dikatakan habis dibelanjakan oleh ketiga-tiga suspek untuk berjoli termasuk di Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan dibuat wanita terbabit yang juga pembantu klinik berusia 58 tahun pada 2 Disember lalu.

Katanya, berdasarkan laporan pengadu mendakwa anak tunggalnya berusia 15 tahun didapati tiada di rumah mereka di Masjid Tanah di sini, sejak 27 November lalu.

"Selepas beberapa hari menunggu dan anaknya masih tidak pulang ke rumah, wanita itu kemudiannya pergi berjumpa dengan rakan sekolah anaknya.

"Remaja 17 tahun itu memberitahu anak pengadu sedang ditahan polis dan perlu membayar sejumlah wang untuk membebaskannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arshad berkata, wanita terbabit yang terpedaya dan bimbang keselamatan anak tunggalnya itu kemudiannya pergi ke Tabung Haji cawangan Masjid Tanah pada 29 November lalu dan mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 sebelum diserahkan kepada rakan anaknya itu.

"Wanita itu kemudiannya membuat semakan pada 1 Disember lalu di Balai Polis Seremban melalui adik iparnya dan terkejut mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat atas nama anaknya.

"Ketika itulah mangsa tersedar dan mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut polis membawa kepada penahanan tiga suspek termasuk anaknya yang dipercayai bersubahat dengan dua lelaki yang menyamar polis.

"Ketiga-tiga suspek akan dituduh esok di Mahkamah Majistret Alor Gajah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 3:56 PM