FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hadzlihady Hassan


BOSAN kerana mendakwa dikongkong ibu dan bapa tiri membuatkan seorang remaja perempuan melarikan diri bersama teman lelakinya yang juga suami orang sejak hujung Oktober lalu.

Bagaimanapun, remaja berusia 14 tahun berjaya ditemui polis bersama teman lelakinya berusia 22 tahun di Kuala Lumpur, awal pagi semalam, dan kedua-dua mereka dibawa pulang ke negeri ini.

Pada masa sama, lelaki terbabit direman untuk siasatan manakala remaja perempuan pula dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Terdahulu, pada 31 Oktober lalu, ibu kepada remaja perempuan membuat laporan polis selepas anaknya tidak pulang ke rumah mereka di Bayan Lepas.

Dalam laporannya, wanita berusia 39 tahun mendakwa anaknya keluar dari rumah jam 2.30 petang 30 Oktober dengan memberitahu mahu membeli makanan.

Bagaimanapun, anaknya didapati masih tidak pulang sehingga keesokan harinya dan wanita terbabit kemudian membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan anaknya.

Menurut sumber, susulan laporan itu, polis melakukan siasatan dan merakam percakapan rakan kepada teman lelaki remaja perempuan berkenaan yang memberitahu ada menemui mereka pada 4 November lalu di Bukit Jambul, namun terputus hubungan selepas itu.

“Polis turut menemubual guru dan rakan sekelas serta mendapati remaja perempuan itu turut mempunyai masalah disiplin.

“Malah, remaja itu juga pernah memberitahu rakan sekelas yang dia mahu lari dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap ibu serta bapa tiri yang suka mengongkong,” katanya.

Sumber berkata, ibu mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada 11 November selepas dihubungi teman lelaki anaknya yang meminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun untuk perbelanjaan mereka.

“Ibu mangsa tidak memasukkan wang seperti diminta dan suspek kemudian menghubungi isterinya, Sabtu lalu, menggunakan telefon dipinjam daripada seorang lelaki di Kuala Lumpur.

“Isteri suspek memaklumkan kepada polis berhubung panggilan itu dan kedua-dua mereka berjaya dikesan ketika berada di Stesen LRT Masjid Jamek kira-kira jam 1 pagi, semalam,” katanya.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai anak kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 4:09 PM