Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, (lima kiri) ketika Majlis Penyerahan Rumah Banglo Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 di Wadi Iman Ekslusif Tanah Merah, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, (lima kiri) ketika Majlis Penyerahan Rumah Banglo Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 di Wadi Iman Ekslusif Tanah Merah, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa


Tanah Merah: Kerajaan Negeri Kelantan menyifatkan pelarasan tarif air domestik mulai 1 Februari depan dengan kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu tidak akan membebankan rakyat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata pihaknya juga menyambut baik cadangan berkenaan memandangkan ia mengikut kesesuaian dan selaras dengan seluruh negara.

Katanya, kaedah ini secara tidak langsung dapat membantu kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaraan ke arah meningkatkan perkhidmatan air yang lebih baik.

"Berdasarkan kajian juga, pelarasan tarif air terbabit dijangka tidak membebankan rakyat kerana kenaikan bil juga adalah tidak ketara.

"Tambahan pula, situasi semasa menunjukkan masalah air di negeri ini sudah berkurangan begitu juga dengan aduan dan rungutan yang diterima daripada rakyat. Alhamdulillah masalah air sebelum ini kita dapat atasinya dengan baik," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Rumah Banglo Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 di Wadi Iman Ekslusif Tanah Merah, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 3:01 PM