Mayat lelaki yang ditemukan di tebing Tasik Senadin, Miri, semalam, dipercayai  mangsa kes bunuh. FOTO Ihsan Bomba
Mayat lelaki yang ditemukan di tebing Tasik Senadin, Miri, semalam, dipercayai mangsa kes bunuh. FOTO Ihsan Bomba
Norsyazwani Nasri


Miri: Polis mengesahkan mayat lelaki di tebing Tasik Senadin di sini, semalam, adalah mangsa kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang berusia lingkungan usia 57 tahun itu dijumpai di kawasan tebing tasik itu.

Menurutnya, ketika ditemui mangsa didapati berseluar dalam sahaja dan terdapat seluar pendek yang tersangkut pada pergelangan kaki.

"Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa ada enam kesan kecederaan di kepala disyaki ditetak dengan objek tajam, dua kesan tetakan pada tapak tangan kanan, satu kesan tetakan di belakang badan dan satu kesan tetakan pada lutut sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kes itu pada 9.03 pagi yang memaklumkan terjumpa seorang lelaki tidak sedarkan diri di tasik terbabit.

"Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bergegas ke tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Miri untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, pihak polis sudah menahan seorang lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan 30-an untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan atau menghubungi Asisten Superintendan Anuar Afendi di talian 019- 7319540 atau 085-433730.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 2:25 PM