Anab menguruskan Azmi yang kini hanya terlantar selepas diserang penyakit angin ahmar dan beberapa penyakit kronik  ketika ditemui  di Kampung Bukit Kenangan di Simpang Renggam, Johor.
Anab menguruskan Azmi yang kini hanya terlantar selepas diserang penyakit angin ahmar dan beberapa penyakit kronik ketika ditemui di Kampung Bukit Kenangan di Simpang Renggam, Johor.
Adnan Ibrahim

Kluang: “Bukan simpati yang saya minta tetapi mengharapkan kepulangan menantu bagi menguruskan suaminya yang tidak sihat,” kata Anab Abdul, 66, ibu kepada Azmi Mahat, 43, yang menderita angin ahmar, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang sejak November tahun lalu.

Anab berkata, dia yang bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM400 sebulan kini memikul tanggungjawab menjaga Azmi.

Pada masa sama, menantunya pula menghilangkan diri sejak empat tahun lalu dan gagal dikesan hingga kini.

Menurut Anab, penyakit anaknya dikesan ketika Azmi dirawat di Hospital Kulai akibat demam.

“Azmi kini hanya terlantar di katil. Keadaan kesihatannya tidak menentu menyebabkan saya perlu menguruskan kebersihan diri serta makan minum Azmi.

“Pada masa sama, saya juga perlu menjaga dua anaknya yang berusia lima tahun dan lapan tahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Kenangan, Simpang Renggam di sini, semalam.

Anab berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu perlu diberi pengawasan rapi kerana tidak boleh bergerak dengan sempurna selain perlu diurus makan dan minumnya.

Menurut Anab, sebelum ini, Azmi bekerja namun terpaksa berhenti akibat keadaan kesihatan yang semakin merosot.

“Saya menoreh getah di kebun bapa mentua dan situasi ini menyebabkan kami perlu mengikat perut kerana pendapatan diperoleh hanya RM400.

“Daripada jumlah itu, saya berjimat untuk digunakan bagi membeli barangan keperluan harian serta perubatan khususnya lampin pakai buang selain perbelanjaan persekolahan dua cucu,” katanya.

Menurut Anab, dia juga perlu mendapatkan khidmat ambulans bagi membawa Azmi ke hospital untuk rawatan.

“Pada masa sama, sebaik selesai rawatan, saya perlu menunggu anak bongsu yang mempunyai kereta untuk membawa kami pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 6:23 AM