Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) menafikan program subsidi beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) tidak sampai kepada kumpulan sasar biarpun, sebelum ini mengakui wujud penyelewengan dalam proses pengagihan produk itu.

Dalam sidang media semalam, Presiden BARIM Ismail Awang turut menyifatkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai ketirisan yang berlaku sebagai tidak tepat.

“Maklumat diperoleh PAC mengenai program subsidi itu tidak menyeluruh. PAC sepatutnya berbincang dengan dengan Kawal Selia Padi Beras (KPB), Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan BARIM terlebih dahulu bagi meneliti kepincangan yang berlaku,” katanya.

Kelmarin, Nur Jazlan dalam dalam kenyataannya meminta MOA supaya menggantung sementara program subsidi berkenaan berikutan program itu tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasar.

Beliau berkata, langkah itu perlu sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan bagi memastikan beras ST15 sampai kepada golongan sasar.

Isu ketirisan dan penyelewangan dalam proses pengagihan besar ST15 didedahkan menerusi laporan secara bersiri oleh Harian Metro, bermula 23 Oktober tahun lalu.

Sehari selepas laporan pendedahan itu disiarkan, Ismail yang diminta mengulas penyelewengan yang berlaku memberitahu pihaknya percaya ia didalangi pihak lain yang bukan ahli BARIM.

“BARIM menaungi 200 syarikat pemborong beras dan sentiasa melakukan pemantauan untuk memastikan tiada ahli yang terbabit dalam penyelewengan itu.

Beliau berkata, kerajaan memberi subsidi RM400 bagi setiap tan beras ST15 dan pemborong mendapatkan kuota bekalan komoditi itu daripada BERNAS pada harga selepas subsidi RM1,350 setiap tan.

Bagaimanapun, katanya, kuota yang diperoleh setiap syarikat pemborong berubah-ubah setiap bulan mengikut kelulusan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Setiap bulan pada minggu ketiga, KPB mengadakan mesyuarat untuk menentukan kuota kepada pemborong pada bulan berikutnya dan kuota itu bukanlah tetap, sebaliknya berubah-ubah setiap bulan.

“Apa yang membimbangkan ialah ke manakah baki beras itu disalurkan dan adakah ia sampai kepada golongan sasar. Kami khuatir beras subsidi itu diseleweng pemborong yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 10:12 AM