ISKANDAR, gambar fail. FOTO NSTP
ISKANDAR, gambar fail. FOTO NSTP
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan melakukan kajian dan penilaian awal berhubung struktur dan prosedur sektor pengimportan makanan termasuk rantaian bekalan, sebelum siasatan boleh dilaksanakan berhubung kewujudan kartel.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, ia penting bagi memudahkan MyCC untuk mengenal pasti isu persaingan seperti kartel dalam sektor berkenaan.

Mengulas lanjut katanya, lima perkara perlu dikenal pasti MyCC untuk mengesan sebarang gangguan terhadap proses persaingan iaitu barangan makanan import yang mempunyai permintaan tinggi dan struktur keseluruhan rantaian bekalan makanan yang akan dikenal pasti.

"Ia merangkumi bukan sahaja pengimportan, bahkan hingga ke peringkat pemborong dan peruncit, dari pasaran huluan ke pertengahan dan akhirnya hiliran.

"Selain itu, perkara lain yang perlu dikenal pasti ialah pemain terbabit dalam pengimportan makanan dan lokasi pengedaran barangan makanan import dalam Malaysia.

"Perkara kelima ialah isu pasaran signifikan termasuk aduan yang menunjuk kepada arah terhadap penumpuan isu," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang antara lain mahu MyCC mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.

Pada masa sama, Iskandar berkata, selepas kajian selepas, MyCC akan mengambil langkah konkrit seterusnya terutama penyiasatan menyeluruh seperti mana dalam kes kartel makanan ayam.

Beliau berkata, arahan Perdana Menteri itu selari dengan fokus penyiasatan kartel MyCC pada tahun ini yang menekankan terhadap sektor pertanian dan makanan.

Katanya, sektor pertanian dan makanan dipilih oleh MyCC kerana ia berkait rapat dengan perut rakyat yang mempunyai kesan terhadap kos sara hidup.

"Selaras dengan fokus MyCC pada tahun ini dan hasrat Perdana Menteri, kami akan berterusan menjalankan aktiviti pemantauan, kajian dan penilaian dalam industri termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh sama ada dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta.

"Ini kerana antara cabaran yang kami hadapi dalam mengkaji sektor pengimportan makanan ini ialah kekurangan data dan maklumat untuk mengenal pasti isu dalam pasaran," katanya.

Iskandar berkata, kartel adalah satu bentuk kejahatan tertinggi dalam perundangan persaingan sekali gus antara bentuk sabotaj kepada ekonomi negara.

Katanya, kewujudan kartel ini sekiranya tidak dibendung dan dibanteras boleh menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

Sementara itu, Iskandar berkata, MyCC juga akan mengadakan mesyuarat dengan Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Jumaat ini bagi membincangkan isu mengenai industri padi dan beras.

Beliau berkata, mesyuarat itu diadakan susulan keputusan akhir MyCC terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam, baru-baru ini.

"Mesyuarat itu diadakan untuk MyCC memberikan pendapat sekiranya wujud sebarang isu persaingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 4:37 PM