KEBAKARAN yang memusnahkan dua rumah berkembar. FOTO ihsan Bomba
KEBAKARAN yang memusnahkan dua rumah berkembar. FOTO ihsan Bomba
Erika George


Bintulu: Kanak-kanak lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang wanita rentung dalam kebakaran membabitkan dua unit rumah berkembar dua tingkat di Fortune Park di Jalan Tanjung Batu, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata, kedua-dua mangsa yang hanya dikenali sebagai Marites, 40, dan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang belum diketahui identiti ditemukan rentung di tingkat atas rumah pertama.

Seorang lagi penyewa di rumah pertama disahkan terselamat manakala sembilan penghuni yang tinggal di rumah sebelah turut berjaya keluar menyelamatkan diri semasa berlaku kebakaran.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kebakaran pada jam 4.05 pagi," jelasnya.

Menurutnya, sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati rumah pertama musnah sepenuhnya manakala rumah kedua terbakar sekitar 20 peratus.

"Selepas hampir satu jam berusaha memadam kebakaran, api berjaya dikawal pada jam 4.43 pagi," katanya.

Pemeriksaan menemui mayat kedua-dua mangsa di sebuah bilik di tingkat atas.

Mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 12:57 PM