FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Maran: Pusat Pemindahan Tetap (PPT) Kampung Luit, di sini mula beroperasi semalam dengan menempatkan sebanyak 162 mangsa banjir daripada 39 keluarga setakat hari ini.

Mangsa banjir, Che Hamdan Che Mamat, 52, berkata, dia bersama lima ahli keluarganya berpindah ke PPT yang terletak berhampiran Jalan Kuantan-Maran itu, sekitar 6.10 petang semalam selepas bahagian bawah rumah mereka dinaiki air hingga paras pinggang susulan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas.

"Kali ini kami terus menuju ke PPT ini, tidak perlu untuk bertanya sana sini mengenai pusat pemindahan sementara (PPS) mana kami perlu daftar. Sampai sahaja di sini kami diberikan makanan dan minuman bagi mengalas perut serta kit kebersihan diri.

"Kemudahan tandas juga selesa kerana lebih banyak berbanding berbanding jika berteduh di masjid atau dewan, selain ada dapur untuk kami masak secara gotong-royong," katanya semasa ditemui di PPT itu hari ini.

PPT Kampung Luit merupakan PPT pertama dibina di negara ini bertujuan menyediakan keselesaan bagi penduduk terjejas banjir dan kerajaan negeri menyasarkan pembinaan empat lagi PPT di Lipis, Temerloh, Kuantan dan Pekan.

Penjual sayur, Peah Mamat, 73, pula menyifatkan PPT itu mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) kerana dibina setingkat yang memudahkan pergerakan mereka.

"Kawasan ini juga lebih selamat berbanding dahulu saya pernah pindah ke dewan (dijadikan PPS) tetapi kemudian diarahkan untuk berpindah ke masjid pula kerana dewan yang kami duduk turut dinaiki air. Keadaan itu sudah tentu menyulitkan bagi warga emas dan mereka yang mempunyai keluarga besar," katanya

Sunida Rosli, 47, yang berpindah ke PPT itu bersama suami, lima anak serta dua cucu selepas rumah mereka dinaiki air, menyifatkan berteduh di situ lebih selesa.

"Walaupun sudah biasa menumpang di masjid, ada masa agak segan juga terutama apabila jemaah datang untuk menunaikan solat. Kami bimbang suara anak-anak menganggu jemaah. Jadi, lebih mudah begini kerana kita tahu semua di sini memang mangsa banjir," katanya.

Bekas kakitangan kerajaan, Salim Mohamed, 65, pula berkata PPT yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk kipas siling dan tandas yang dekat memudahkan dirinya yang mengalami masalah untuk berjalan selepas diserang angin ahmar pada 2021.

Sebagai cadangan penambahbaikan, Salim yang merupakan pemegang kad OKU berharap kemudahan seperti kerusi malas dapat disediakan pada masa depan terutama untuk warga emas yang mengalami kesukaran untuk bangun selepas duduk di lantai.

"Saya meminjam kerusi malas daripada saudara untuk dibawa ke sini. Begitupun, secara keseluruhan pusat pemindahan ini selesa untuk saya dan urusan mendaftar masuk juga mudah walaupun kami datang pada 12 tengah malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 7:50 PM