BANDAR Maran dinaiki air banjir sedalam satu meter. FOTO ihsan polis.
BANDAR Maran dinaiki air banjir sedalam satu meter. FOTO ihsan polis.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Maran: Daerah ini menjadi kawasan terbaru dilanda banjir di negeri ini dengan 1,049 orang daripada 243 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 11 pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran berkata, lapan kawasan di daerah itu dinaiki air sejak tengah malam tadi selepas hujan berterusan sejak petang semalam.

Kawasan terbabit adalah Kampung Luit (393 orang daripada 89 keluarga dipindahkan ke PPS), Pekan Sungai Jerik (21 orang daripada tiga keluarga), Kampung Bak-Bak (35 orang daripada lapan keluarga), Paya Chendong (395 orang daripada 81 keluarga) dan Taman Maran Jaya (16 orang daripada tiga keluarga).

Seramai 89 orang daripada 19 keluarga dipindahkan ke PPS di Kampung Kuala Sentul, Taman Seri Chendong (186 orang daripada 35 keluarga) dan Kampung Bukit Kuin (18 keluarga daripada lima keluarga).

Katanya, tiga jalan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Ulu Luit (jarak 100 meter), Kilometer 124.9 Jalan Maran-Jerantut (jarak 500 meter) dan Jalan Bak-Bak (jarak 100 meter).

"Pengguna jalan raya dari Jengka dan Temerloh yang hendak ke Maran dinasihatkan menggunakan laluan dari Jengka 5 kerana sebahagian kawasan di Pekan Tajau sudah dinaiki air," katanya.

Di Kuantan, seramai 1,421 orang daripada 357 mangsa ditempatkan di 19 PPS manakala di Kuala Lipis (325 orang), Jerantut (21 orang) dan Rompin (78 orang).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 12:12 PM