ANTARA keadaan kereta yang dirempuh penuntut warga asing di hadapan Masjid Jamek Kampung Parit Jelutong, Parit Raja. FOTO Alias Abd Rani
ANTARA keadaan kereta yang dirempuh penuntut warga asing di hadapan Masjid Jamek Kampung Parit Jelutong, Parit Raja. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Empat kereta rosak teruk selepas dirempuh kenderaan dipandu penuntut warga asing sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kilometer 18, Jalan Kluang-Ayer Hitam, hadapan Masjid Jamek Kampung Parit Jelutong, Parit Raja, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, kereta jenis Kia Spectra yang dipandu penuntut antarabangsa warga Yaman, berusia 22 tahun dilaporkan hilang kawalan lalu terbabas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata ketika kejadian pemandu terbabit bersama rakannya berusia 23 tahun yang juga penuntut warga United Kingdom (UK).

Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua mereka dipercayai dari arah Ayer Hitam menghala ke Batu Pahat.

"Kenderaan dipandu penuntut terbabit dipercayai hilang kawalan lalu merempuh empat kereta diparkir di hadapan masjid terbabit.

"Rempuhan itu menyebabkan kesemua kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kedua-dua penuntut terbabit kemudiannya diminta hadir ke Balai Polis Batu Pahat untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif," katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kereta dipandu penuntut terbabit sudah tamat cukai jalan lebih empat tahun lalu.

Berikutan itu, kata Ismail, kereta terbabit kemudiannya disita mengikut Seksyen 64 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). Mana-mana saksi melihat kejadian itu diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Zamzuri ditalian 07-4327704." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 8:04 PM