GAMBAR hiasan. FOTO GHAZALI KORI
GAMBAR hiasan. FOTO GHAZALI KORI
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sebanyak 21 jangkitan membabitkan kes penularan varian Delta dan Beta dikesan di Terengganu sejak akhir Julai lalu sehingga hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes varian Delta manakala sembilan lagi membabitkan kes Beta.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) tidak menolak kemungkinan varian itu sudah menular dengan meluas dalam komuniti di semua daerah melainkan di daerah Kuala Nerus dengan sekurang-kurangnya satu jenis varian.

Menerusi catatan di Facebook, JKNT menyatakan lima kes varian membimbangkan (VOC) direkodkan di daerah Hulu Terengganu, masing-masing empat di daerah Besut dan Kuala Terengganu, Marang (tiga), Dungun (dua), Kemaman (dua) dan satu di Setiu.

"Fakta penting perlu diberi perhatian utama setiap rakyat adalah kadar kebolehjangkitannya tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah.

"Walaupun individu sudah mengambil vaksin, tetapi masih belum kebal sepenuhnya dan jangan leka, anda masih perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di mana jua berada," katanya.

Kenyataan itu menyatakan, sebahagian masyarakat mungkin tertanya-tanya mengapa perlu mengambil vaksin jika masih ada risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19.

Menurutnya, pengambilan vaksin akan dapat membendung seseorang itu daripada mendapat jangkitan Covid-19 lebih teruk.

"Pastinya masyarakat semua tidak mahu diri sendiri, keluarga dan rakan taulan mendapat jangkitan Covid-19 teruk dan seluruh penduduk perlu mengelakkan diri daripada berada di tempat sempit dan sesak serta sentiasa menjaga kebersihan diri dan tangan.

"JKNT akan terus memantapkan aktiviti kawalan termasuk memperbanyakkan ujian saringan Covid-19 dan melakukan pengesanan kontak rapat serta pengasingan kes sebagai langkah kesihatan bagi membendung penularan varian itu dalam komuniti," katanya.

Sementara itu, sebanyak 704 kes terbaharu positif Covid-19 membabitkan lima kematian dilaporkan di seluruh Terengganu, hari ini.

Lima kematian dilaporkan itu termasuk dua di daerah Dungun dan masing-masing satu kes di Kemaman, Kuala Terengganu serta Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 10:35 PM