Oleh Amir Mamat


Melaka: Demi pendapatan lumayan, ada segelintir ibu bapa didakwa sanggup mengekploitasi anak mereka dengan menyanyi di kaki lima pusat beli-belah di Banda Hilir, di sini, bagi meraih pendapatan hasil sumbangan orang ramai yang dianggarkan mencecah belasan ribu ringgit sebulan.

Dengan alasan untuk membantu mencari sumber pendapatan orang tua mereka, kanak-kanak itu dikatakan dipaksa bersengkang mata dan menghabiskan masa cuti persekolahan dengan menyanyi di kaki lima yang menjadi antara laluan utama pengunjung ke pusat beli-belah berkenaan.

Tindakan yang dianggap `mengerah kudrat si kecil' itu dikesan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri menerusi operasi khas yang dijalankan di sekitar pusat pelancongan itu, malam tadi.

Pengarah JKM negeri Zulkifli Hanifah berkata, operasi terbabit dijalankan selepas menerima banyak aduan orang awam terhadap kes seumpama itu kebanyakannya berlaku di kawasan pusat bandar yang menjadi tumpuan pelancong.

Malah, katanya, pihaknya menerima 30 kes berulang membabitkan eksploitasi kanak-kanak yang dilakukan sendiri oleh penjaga atau ibu bapa mereka.

Beliau berkata, perkara itu mungkin didorong oleh pendapatan yang lumayan mampu diperoleh saban malam terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

"Ini jelas apabila ibu kepada dua kanak-kanak berusia 13 dan 15 tahun yang kita kesan (malam tadi) mengakui wang sumbangan tabung itu mampu diperoleh antara RM350 hingga RM600 satu malam.

"Ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dibawa ke Pejabat JKM negeri untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kanak-Kanak 2021 atau Akta 611," katanya selepas menyertai operasi yang diketuai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin di Banda Hilir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi terbabit dijalankan bagi mengekang perkara itu daripada berleluasa kerana boleh mengganggu ketenteraman pengunjung khususnya di tempat tumpuan ramai.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sekiranya terdapat pembabitan dalang lain yang melindungi aktiviti eksploitasi kanak-kanak oleh ibu bapa atau penjaga mereka.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pihak itu selain memastikan kegiatan terbabit tidak menjadi 'trend' yang boleh merosakkan usaha kerajaan negeri dalam menyambut Tahun Melawat Melaka 2024," katanya.

EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka Datuk Kalsom Noordin bersama Pengarah JKM Melaka Zulkifli Hanifah (kiri) menyoal ibu kepada kanak-kanak lelaki yang menyanyi di kaki lima pusat beli belah di Banda Hilir. FOTOT AMIR MAMAT
EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka Datuk Kalsom Noordin bersama Pengarah JKM Melaka Zulkifli Hanifah (kiri) menyoal ibu kepada kanak-kanak lelaki yang menyanyi di kaki lima pusat beli belah di Banda Hilir. FOTOT AMIR MAMAT

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 3:47 PM