ANTARA warga asing yang ditahan dipercayai terbabit dengan aktiviti pelacuran. FOTO Ihsan Polis
ANTARA warga asing yang ditahan dipercayai terbabit dengan aktiviti pelacuran. FOTO Ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sebanyak 16 premis disyaki menawarkan perkhidmatan seksual dan urutan diserbu menerusi Ops Noda Khas di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata seramai 92 individu ditahan membabitkan 15 tempatan dan 77 warga asing.

Menurutnya, operasi jam 5 petang itu dijalankan Bahagian D14 (Siasatan Jenayah Terancang) dengan kerjasama Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) JSJ Bukit Aman.

"Lokasi serbuan keseluruhan 16 premis membabitkan tiga premis di Petaling Jaya, Gombak (empat), Serdang (enam) dan Klang Utara (satu).

"Jumlah tangkapan melibatkan 13 lelaki tempatan dan dua wanita tempatan manakala tangkapan warga asing seramai seorang lelaki Indonesia, wanita Vietnam (25), wanita Thailand (28) dan wanita Indonesia (23)," katanya.

Menurutnya, pasukan serbuan turut menemui dan menyelamatkan 37 wanita warga asing disyaki dieksploitasi sebagai pekerja seks terdiri daripada 19 wanita Indonesia, Thailand (satu), Vietnam (15), China (satu) dan Kemboja (satu).

Katanya kesemua tangkapan ditahan mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, Seksyen 55 B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

"Operasi pembanterasan kegiatan pemerdagangan orang dan maksiat akan diteruskan bagi menaikkan keyakinan masyarakat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)

"Justeru masyarakat diminta sentiasa menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti haram kepada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 3:53 PM