Kuliah Maghrib dan bacaan Yassin dibenarkan di Kedah. FOTO NSTP
Kuliah Maghrib dan bacaan Yassin dibenarkan di Kedah. FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kedah membenarkan aktiviti keagamaan dan majlis ilmu di masjid serta surau di zon hijau Covid-19 di negeri itu, sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Jumaat.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, kebenaran itu terhad kepada kuliah Maghrib dan bacaan Yassin pada setiap Khamis, dalam skala kecil iaitu jemaah tidak melebihi kapasiti separuh daripada ruang solat utama.

Katanya, tempoh program juga tidak boleh melebihi 45 minit dan khusus kepada kariah masjid dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard.

"Manakala, sebarang program keagamaan dan majlis ilmu di kawasan zon merah, berskala besar dan membabitkan jemputan rentas negeri sama sekali tidak dibenarkan.

"Kita juga tidak membenarkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti jamuan, gotong-royong, kenduri dan sebagainya di masjid dan surau," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd Yusri berkata, aktiviti pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 dibolehkan namun, solat jenazah bagi zon hijau, kuning dan jingga hanya terhad kepada pegawai atau jawatankuasa masjid, ahli keluarga si mati dan anak kariah.

Katanya, JHEAIK juga membenarkan solat jenazah di zon merah tetapi tidak boleh melebihi 20 orang.

"Pengurusan jenazah di perkuburan seperti pengebumian, talqin dan doa tidak boleh melebihi 20 orang yang termasuk pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati sahaja," katanya.

Mengenai solat fardu dan Jumaat berjemaah di zon hijau dan kuning, katanya, kehadiran jemaah tertakluk kepada keluasan ruang solat utama, manakala separuh daripada kapasiti ruangan bagi zon jingga dan 50 orang bagi zon merah.

"Jemaah yang bergejala, golongan berisiko ataupun menghidap penyakit kronik dan berusia di bawah 12 tahun kecuali dari zon hijau dan kuning tidak dibenarkan untuk solat di masjid," katanya yang memberitahu kebenaran boleh ditarik balik sekiranya ada jemaah ingkar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 6:18 PM