KEADAAN di Jalan Silang selepas serbuan besar-besaran. FOTO Aswadi Alias
KEADAAN di Jalan Silang selepas serbuan besar-besaran. FOTO Aswadi Alias
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Jalan Silang yang baru sahaja diserbu secara besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM), beberapa hari lalu langsung tidak sepi dengan kelibat warga asing.

Walaupun warga asing didakwa kurang sehingga 60 ke 70 peratus, ramai pendatang kelihatan berkeliaran di lokasi yang digelar sebagai 'Mini Dhaka' itu bagi mengambil kesempatan keluar beriadah pada cuti umum Hari Krismas.

Tinjauan BH sekitar 12 tengah hari tadi mendapati ribuan warga asing dari negara Asia Barat itu setia bersidai di laluan jalan kaki di sepanjang jalan berkenaan.

Ada di antara mereka berborak secara berkumpulan, malah ada yang berswafoto, bercakap di telefon atau sekadar berdiri tidak bergerak ke mana-mana.

Di kesempatan cuti umum itu juga, warga asing turut dilihat keluar membeli barang-barang keperluan seharian.

Seorang peniaga, Faezah Jalal berkata, hari ini tidak seperti cuti umum yang lain kerana tidak ramai warga asing di Jalan Silang, berkemungkinan akibat serbuan yang dijalankan PDRM pada kelmarin.

"Ya sebagai peniaga memang saya sedikit down (kurang bersemangat) kerana jualan tidak memberangsangkan. Mungkin ramai di antara mereka (warga asing) ini takut untuk keluar beriadah.

"Jika hari-hari cuti umum atau cuti hari minggu kawasan ini akan penuh sehingga kami tidak menang tangan untuk melayan," katanya.

Khamis lalu, operasi besar-besaran bermula 11 pagi di Jalan Silang dengan sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya diperiksa serta seramai 1,101 warga asing ditahan untuk pemeriksaan.

Operasi berkenaan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima laporan dan aduan rakyat tempatan yang berasa rimas serta tidak selesa apabila berkunjung ke destinasi tumpuan negara kerana kawasan itu dikuasai warga asing sehingga ada yang semakin 'besar kepala' terhadap rakyat tempatan.

Sementara itu, peniaga pakaian, Mohd Kadir Jusoh, 50, juga merasakan perkara sama kerana Jalan Silang dilihat 'sepi', meskipun ramai yang kelihatan berselerakan di situ.

"Jumlah yang ada hari ini sangat sedikit, kerana biasanya kawasan ini akan padat dengan warga asing dan aktiviti jual-beli juga rancak sekali.

"Tetapi hari ini mungkin yang keluar beriadah adalah mereka yang mempunyai dokumen sah. Biasanya laluan jalan kaki di sini penuh hingga sukar untuk orang-orang lalu," katanya yang akan mengemas hasil jualan sebelum lewat petang.

Peniaga kelapa, Waljafri, 38, pula mengakui barangan jualannya langsung tidak laku berbanding cuti umum lain.

Katanya, pada hari cuti dia boleh menjual sehingga 50 biji kelapa menjelang tengah hari dan lebih 100 sehingga ke petang, tetapi hari ini hanya beberapa biji sahaja kelapa yang terjual.

"Pelanggan-pelanggan biasa pun tidak membeli hari ini," katanya.

Sementara itu, pekerja Bangladesh berkata, dia turut merasakan ramai rakan-rakannya tidak keluar ke Jalan Silang, hari ini dan mungkin ia ada kena mengena dengan operasi PDRM tempoh hari.

"Tidak ramai langsung hari ini. Kalau anda tengok ramai itu hanyalah sebilangan kecil sahaja daripada warga Bangladesh yang akan beriadah di sini.

"Mungkin juga mereka takut tiba-tiba akan ada operasi seperti hari itu," katanya.

MD Mohsin, juga dari Bangladesh berkata, dia berada di sini untuk bekerja tetapi sepatutnya ramai lagi rakan-rakan senegaranya berada di situ tetapi ia tidak berlaku.

"Normal cuti akan ramai sangat hari ini tetapi sekarang berniaga pun tiada untung. Ramai kawan-kawan yang mengadu dua tiga hari ini tiada orang datang membeli malah bos juga kata tak untung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 4:10 PM