Seorang warga asing menjual sirih di kaki lima. FOTO Sadiq Sani
Seorang warga asing menjual sirih di kaki lima. FOTO Sadiq Sani
MINI Dhaka di Jalan Silang dan Lebuh Pudu kembali ‘meriah’ dan menjadi tumpuan warga asing bagi menghabiskan cuti. FOTO Sadiq Sani
MINI Dhaka di Jalan Silang dan Lebuh Pudu kembali ‘meriah’ dan menjadi tumpuan warga asing bagi menghabiskan cuti. FOTO Sadiq Sani
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: 'Mini Dhaka' yang terletak di Jalan Silang dan Lebuh Pudu, di sini, kembali meriah dan menjadi tumpuan warga asing bagi menghabiskan cuti umum Tahun Baharu Cina yang disambut bermula hari ini.

Tinjauan Harian Metro bermula jam 11 pagi mendapati setiap ceruk di kawasan ini sesak dan dipenuhi oleh rata-rata warga asing dari Bangladesh.

Selain itu, terdapat segelintir warga asing berkenaan tidak menjaga kebersihan dengan membuang sampah merata-rata.

Warga asing ini juga turut melanggar undang-undang dengan menjalankan perniagaan seperti menjual sirih, ikan kering, manisan dan rokok di kaki lima.

Selain itu, ada dalam kalangan mereka juga turut menjual kad prabayar dan meminta sedekah terhadap pengunjung yang melalui kawasan ini.

Dalam pada itu, buruh binaan, Hoesin Md Imun, 25, dari Bangladesh berkata, cuti Tahun Baharu Cina ini adalah hari untuk dia berjumpa rakan-rakannya.

"Saya mengambil cuti tiga hari untuk berjumpa tiga lagi rakan saya di sini. Mereka bekerja di Klang.

"Jalan Silang ini dipilih sebagai lokasi pertemuan disebabkan kami semua tahu kawasan ini," katanya yang tinggal di Kajang.

Dia yang bekerja di Malaysia selama lima tahun bagaimanapun tidak mengetahui kawasan ini pernah diserbu oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Seorang lagi warga Bangladesh, Nabin Biblop, 25, turut menyatakan cuti ini kesempatan diambilnya untuk bersiar-siar ibu negara.

Dia yang baru bekerja selama dua bulan sebagai buruh binaan berkata, pihaknya mengunjungi Jalan Silang bagi membeli-belah.

"Cuti Tahun Baharu Cina ini juga masa untuk saya bertemu rakan-rakan senagara," katanya yang tinggal di Segambut.

Pada 21 Disember tahun lalu, kawasan ini pernah digempur secara besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi membabitkan 60 premis di kawasan ini serta di sekitar Kompleks Kota Raya diperiksa serta 1,101 warga asing ditahan untuk pemeriksaan.

Dilaporkan operasi berkenaan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima aduan orang ramai tidak selesa apabila berkunjung ke destinasi tumpuan negara kerana kawasan itu 'dikuasai' warga asing sehingga ada yang semakin 'besar kepala.'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 1:11 PM