Amir Abd Hamid


DEWAN Rakyat, hari ini, diberitahu bahawa harga siling runcit pelitup muka tiga lapisan akan diturunkan serendah RM1 seunit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, harga siling bagi peringkat borong pula adalah pada 95 sen.

Beliau berkata, penilaian berterusan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan dilaksanakan berdasarkan bekalan dan harga pelitup muka.

"Saya ingin memaklumkan bahawa harga pelitup muka tiga lapisan ini akan diturunkan kepada RM1 seunit di peringkat runcit, maknanya 95 sen di peringkat pemborong berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan dan harga pelitup muka oleh kerajaan.

"Kementerian bersedia untuk menurunkan harga siling itu ke paras yang lebih rendah lagi dari semasa ke semasa.

"Usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa yang perlu menyediakan pelitup muka kepada anak-anak yang sudah mulakan persekolahan dan juga untuk kegunaan orang ramai," katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) menyatakan rasional kerajaan meningkatkan harga maksimum topeng tiga lapis daripada 80 sen sekeping ke RM1.50.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Menjawab soalan tambahan Chong yang mempersoalkan kerajaan tidak bertindak menurunkan harga topeng serendah 40 sen, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan teliti dari pelbagai sudut termasuk kualiti.

"Itu sebab kerajaan berhati-hati, berjaga-jaga turunkan harga, ada pasaran (pelitup muka) jual 40 sen tetapi apa kualitinya?

"Harus berjaga-jaga menetapkan dengan meletakkan satu tahap dengan membincangkan dengan semua stake holder seperti pengguna dan pengilang.

"Yang penting, langkah-langkah ini akan berterusan. Saya fahamkan supaya RM1 satu unit di peringkat peruncit akan kaji lagi bersama semua stake holder. Kita akan turunkan lagi, itu jaminan kerajaan," katanya.

Menurutnya, kerajaan menyedari berlaku peningkatan permintaan ke atas pelitup muka ekoran kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga mencegah penularan Covid-19 dengan mewajibkan penggunaannya bermula 1 Ogos lalu di dalam pengangkutan awam dan tempat tumpuan yang sesak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 12:25 PM