Nurul Hidayah Bahaudin dan Suharmin Yusuf


Ampang Jaya: "Dia seorang anak yang taat dan bertanggungjawab kepada keluarga. Saya tidak sangka dia akan pergi dalam usia muda."

Itu luahan ayah kepada mangsa penunggang motosikal, Muhammad Hisyammuddin Ahmad Syakif, 23, yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Bukit Belacan, Kampung Lembah Jaya Utara, di sini, semalam.

Ahmad Shakif Mohd, 52, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anaknya itu kira-kira jam 4.00 petang oleh rakan Hisyammuddin.

"Ketika kejadian, Hisyammuddin sedang dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk memulangkan motosikal rakannya sebelum terbabit dengan insiden itu.

"Apabila mengetahui insiden itu, saya terus bergegas ke Hospital Ampang dan difahamkan anak saya meninggal dunia dalam ambulans semasa menuju ke hospital.

"Semasa melihat jenazahnya, saya sudah redha dan mengikhlaskan pemergiannya," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Ampang, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau sempat bertemu anak ketiga daripada empat beradik itu semalam ketika dia pulang untuk makan tengah hari.

"Sudah menjadi rutin bagi Hishamuddin yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk pulang makan di rumah masa rehat pada tengah hari.

Ahmad Shakif Mohd menunggu jenazah anaknya di bilik mayat Hospital Ampang yang maut akibat ditimpa pokok ketika menunggang motor di flat Ampang Jaya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ahmad Shakif Mohd menunggu jenazah anaknya di bilik mayat Hospital Ampang yang maut akibat ditimpa pokok ketika menunggang motor di flat Ampang Jaya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

"Kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah semalam dan sama sekali tak menyangka itu adalah pertemuan terakhir kami kerana tiada apa-apa perubahan pada dirinya.

"Adik bongsunya adalah orang yang paling merasa kehilangan arwah kerana dia adalah tulang belakang keluarga dan tidak pernah mengabai tanggungjawabnya sebagai seorang anak," katanya.

Katanya, jenazah Hishammuddin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah, Gombak, pada petang ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa ramai penduduk setempat yang membuat aduan mengenai keadaan pokok di kawasan berkenaan.

"Insya-Allah selepas selesai pengebumian ini, saya akan berjumpa dengan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membincangkan mengenai perkara ini," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pemandu kereta dan penunggang motosikal maut selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.51 petang itu, pemandu kereta disahkan maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 1:29 PM