Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Pemandu kereta dan penunggang motosikal maut selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.51 petang itu, pemandu kereta disahkan maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 3.51 petang.

"Setakat ini disahkan dua mangsa meninggal dunia adalah lelaki warga tempatan.

"Bantuan di tempat kejadian dilakukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu pada 3.51 petang tadi.

Katanya, kemalangan membabitkan kereta Avanza dan sebuah motosikal Yamaha 135LC.

"Kerja mengeluarkan mangsa sedang dilakukan, dua orang individu didapati cedera dalam kejadian ini," katanya.

PASUKAN bomba menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 6:06 PM