NUR Raudhatul (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya selepas diangkat sebagai penerima Anugerah Menteri Besar Johor - Ikon Siswa Johor, Anugerah Siswa Johor Terbaik Kepimpinan AISJ 2023. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NUR Raudhatul (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya selepas diangkat sebagai penerima Anugerah Menteri Besar Johor - Ikon Siswa Johor, Anugerah Siswa Johor Terbaik Kepimpinan AISJ 2023. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Sentiasa mendahulukan akademik dan tidak membelakangkan ibu bapa menjadi berkat kepada kejayaan buat penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat, Nur Raudhatul Jannah Abdul Rahman.

Gadis berusia 23 tahun itu melahirkan rasa syukur apabila perit jerih selama lima tahun bergelar mahasiswa akhirnya terbalas apabila diangkat sebagai penerima Anugerah Menteri Besar Johor - Ikon Siswa Johor pada Anugerah Ikon Siswa Johor (AISJ) 2023, kelmarin (Isnin).

Anak jati Johor Bahru yang turut memenangi Anugerah Siswa Johor Terbaik Kepimpinan itu berkata, anugerah diterima adalah hadiah terakhir buatnya sebagai mahasiswa kerana selepas ini bakal melangkah ke alam pekerjaan.

"Saya tidak sangka dapat dua anugerah malam ini, mungkin ini pengorbanan daripada lima tahun dahulu akhirnya hari ini tercapai juga. Selepas ini, saya tidak lagi bergelar mahasiswa, jadi saya kira ini adalah hadiah terakhir untuk ibu ayah daripada saya sebagai seorang mahasiswa.

"Satu pesan saya, akademik ini penting, jadi saya percaya jika kita dahulukan akademik, perkara lain yang kita minat untuk ceburi menjadi mudah. Saya tidak mahu cemerlang dalam akademik sahaja, tetapi saya buktikan pada mahasiswa lain bahawa pembahagian masa itu penting antara akademik dan aktiviti kurikulum lain yang kita lakukan.

"Saya mengambil semangat daripada ibu dan ayah saya yang sentiasa faham akan apa saya lakukan walaupun saya sibuk setiap hari mereka sentiasa beri dorongan.

"Terima kasih juga buat rakan-rakan dan pegawai YPJ (Yayasan Pelajaran Johor) yang beri sokongan, peluang dan kepercayaan kepada saya untuk saya tonjolkan diri saya," katanya.

Nur Raudhatul Jannah yang ditemani ibu dan bapanya, Rogayah Nanban, 55 dan Abdul Rahman Jaafar, 61, pada malam AISJ 2023 di sebuah hotel di bandar raya ini menerima dua anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Antara pencapaian Nur Raudhatul Jannah sepanjang bergelar mahasiswa adalah menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Program AISJ 2022 dan Presiden Gerakan Mahasiswa Anak Johor (Germaj) UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat.

Anak keempat daripada enam beradik itu turut berkecimpung dalam projek Duta Mahasiswa Johor di bawah YPJ dengan membawakan projek kosmetologi berkenaan spa dan sauna di universiti itu selain melatih golongan orang kurang upaya (OKU) di beberapa Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekitar Segamat.

ONN Hafiz (tengah) bersama penerima anugerah selepas Majlis AISJ di Hotel New York. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ONN Hafiz (tengah) bersama penerima anugerah selepas Majlis AISJ di Hotel New York. FOTO Nur Aisyah Mazalan

AISJ 2023 anjuran YPJ yang menampilkan 48 calon akhir kategori individu dan kumpulan itu bertujuan mengiktiraf dan menghargai kejayaan individu serta persatuan Mahasiswa Anak Johor dalam pengurusan organisasi serta program yang dilaksanakan mereka.

Ia sebagai pengiktirafan yang diberikan ke atas usaha mahasiswa anak Johor bagi memberi motivasi dan mengembangkan lagi bakat yang sedia ada pada mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dan berkepimpinan holistik.

Bagi Pengarah Program AISJ 2023, Insyirah Ash'ari, sambutan diterima pada pencalonan AISJ tahun ini amat memberangsangkan apabila menerima lebih 100 penyertaan bagi kategori individu dari seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 30 mahasiswa yang melepasi tapisan berentap di peringkat penilaian.

"Pada September lalu, satu penilaian telah dilaksanakan membabitkan seramai 30 calon individu bagi enam kategori.

"Pemilihan setiap kategori dilakukan dengan sangat telus dan semua pemenang tahun ini adalah seorang yang sememangnya layak merangkul anugerah ini," katanya.

Insyirah berkata, bagi kategori kumpulan, penilaian dibuat berdasarkan projek yang dikemukakan di bawah program Duta Mahasiswa Johor yang mana dilaksanakan 25 persatuan Mahasiswa Anak Johor dan penilaian persatuan terbaik pada tahun ini.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapan perasmiannya berkata, kerajaan negeri amat komited dalam membantu bagi memastikan mahasiswa anak Johor terus cemerlang dalam agenda pendidikan.

Beliau berharap, anak muda Johor akan kembali menyumbang serta berbakti buat negeri ini di masa akan datang.

"Ada 25 persatuan Mahasiswa Anak Johor di seluruh negara, saya nak mohon apabila anda tamat pengajian, jangan lupa diri, pulanglah ke Johor untuk berbakti dan membangunkn negeri kita ini.

"Kerajaan negeri laksanakan pelbagai usaha untuk membantu anak muda Johor, semoga dengan adanya usaha ini, saya yakin banyak peluang yang kompetetif ada di sini.

"Saya juga yakin dalam sanubari mahasiswa ini ada jiwa yang berkobar-kobar mahu menyumbang dari segi idea dan tenaga untuk bangunkan Johor.

"Kita perlu duduk berbincang, bertukar idea dan buah fikiran untuk sama-sama menyumbang pada pembangunan ini," pesannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 7:05 AM