PASUKAN dari Jabatan Pertanian Kota Tinggi menjulang piala Anjasmara Ta'zim sambil diberi tepukan dari Datuk Zahari Sarip (empat dari kiri). FOTO Mary Victoria
PASUKAN dari Jabatan Pertanian Kota Tinggi menjulang piala Anjasmara Ta'zim sambil diberi tepukan dari Datuk Zahari Sarip (empat dari kiri). FOTO Mary Victoria
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kerajaan negeri menjamin bekalan makanan asas seperti sayur-sayuran dan hasil laut di negeri ini tidak akan terjejas walaupun terdapat kemungkinan berlaku banjir akibat Monsun Timur Laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata, beberapa langkah diambil bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku.

Menurutnya, ia termasuk memastikan bekalan mencukupi bagi mengelakkan berlaku peningkatan harga dalam tempoh itu.

Katamya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan terdapat kekurangan bekalan, sama seperti tahun-tahun lalu.

"Sebagai persediaan hadapi monsun, inisiatif awal telah diambil bagi memastikan tiada kekurangan bekalan atau kenaikan harga ketara.

"Bagi hasil pertanian, kita nasihat petani di mana kawasan pertanian mereka kerap terjejas banjir untuk berpindah ke kawasan selamat, manakala bagi yang tiada tanah, usahakan untuk lakukan sistem fertigasi.

"Sementara bagi bekalan ikan pula, saya sudah lawat pusat pengumpulan ikan di Mersing dan dapati kita mempunyai stok mencukupi sekiranya berlaku banjir akhir tahun ini sehingga Januari depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Apresiasi Pensijilan Amalan Pertanian Baik, di sini, semalam.

Zahari berkata, pihaknya yakin usaha awal dilakukan kerajaan negeri dan agensi terbabit akan dapat memastikan tiada isu kekurangan bekalan keperluan asas berlaku sekiranya banjir melanda.

Menurutnya, beliau turut memaklumkan pejabat daerah dan ketua kampung diminta untuk mempersiapkan kemudahan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir.

"Kita tidak mahu sekiranya berlaku banjir dan mangsa-mangsa dipindahkan ke PPS kemudian baharu dimaklumkan tandas tidak berfungsi dan tiada bekalan elektrik, jadi kita lakukan persiapan awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 1:42 PM