DEPOT Bekalan Makanan Bencana. FOTO BERNAMA
DEPOT Bekalan Makanan Bencana. FOTO BERNAMA
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Bekalan makanan keperluan utama untuk mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara pada musim tengkujuh nanti dijamin mencukupi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat persiapan awal termasuk membekalkan barangan keperluan utama sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

"Semua kerajaan negeri sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi musim banjir terutama memastikan barangan keperluan utama mencukupi.

"Kita dimaklumkan bekalan makanan utama dan pelbagai peralatan untuk semua mangsa banjir sudah dihantar ke pengkalan hadapan," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai bekalan barangan keperluan utama sebagai persiapan menghadapi musim banjir yang dijangka melanda beberapa negeri terutama Terengganu, Kelantan dan Pahang, akhir bulan ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, situasi barangan keperluan asas untuk masyarakat dilanda bencana banjir tidak sama seperti dihadapi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Katanya, kekurangan bekalan makanan keperluan utama seperti dihadapi ketika kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan PKP berbeza dengan persiapan menghadapi bencana banjir.

"Kerajaan dan JKM sudah membuat persiapan awal termasuk mengenal pasti jumlah barangan utama diperlukan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

"Tiada masalah dan isu mengenai kekurangan barangan keperluan utama untuk mangsa banjir kerana bencana itu berlaku setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 2:27 PM