BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berpuas hati dengan jaminan Jepun dan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai kesan radiologi yang minima terhadap kehidupan marin hasil pelepasan air terawat dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa Jepun harus terus mempertimbangkan pandangan, cadangan, dan kebimbangan yang dikemukakan oleh Malaysia dan negara-negara serantau lain mengenai perkara itu kerana kesannya merentasi sempadan.

"...(kita) memberi jaminan kepada Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida bahawa kita (Malaysia) akan terus membeli produk dari Jepun," katanya dalam sidang media bersama dengan Kishida di sini pada Ahad.

Pada 24 Ogos, dilaporkan bahawa Jepun mula melepaskan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi ke laut.

Selain itu, Anwar berkata bahawa sidang kemuncak peringatan ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Jepun akan diadakan pada pertengahan Disember di Tokyo.

Anwar juga berharap isu-isu bilateral antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pertahanan dan keselamatan, pendidikan, dan peralihan tenaga akan dibincangkan secara mendalam semasa dialog ini dan beberapa perjanjian akan dimuktamadkan.

PEMANDANGAN udara menunjukkan tangki simpanan untuk rawatan air, di stesen jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di bandar Okuma, Fukushima. FOTO JIJI Press / AFP
PEMANDANGAN udara menunjukkan tangki simpanan untuk rawatan air, di stesen jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di bandar Okuma, Fukushima. FOTO JIJI Press / AFP

Selepas pertemuan hari ini, Anwar mengatakan beliau gembira dengan komitmen Jepun untuk menyokong inisiatif ASEAN termasuk perkara lima konsensus (5PC) untuk membawa keamanan ke Myanmar.

Lawatan dua hari Kishida ke Malaysia bermula pada Sabtu signifikan kerana bersempena dengan ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015, Jepun telah menjadi rakan dagangan terbesar keempat Malaysia.

Pada tahun 2022, perdagangan dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (US$41.21 bilion), menyumbang 6.4 peratus daripada perdagangan keseluruhan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sejumlah 2,778 projek oleh syarikat-syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (US$27.43 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 6:20 PM