Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO Bernama
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO Bernama
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menafikan dakwaan rombakan Kabinet yang menyaksikan beberapa menteri dari parti itu bertukar portfolio, bertujuan memperkukuhkan pengaruh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang kini menjawat sebagai Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan, perubahan portfolio itu tidak ada kaitan dengan perkara terbabit, sebaliknya ia adalah hak prerogatif Perdana Menteri.

"Ia tidak ada kaitan kerana kita perlu faham bahawa menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk membina pasukan (Jemaah Menterinya).

"Tentunya beliau sudah membuat penilaian yang terbaik untuk meneruskan (gerak kerja) dan juga respon yang beliau peroleh daripada rakyat, bagaimana beliau menyusun semula (Kabinet)," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi 'Clock in' di perkarangan lobi Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, hari ini.

Sebelum ini, tersebar desas-desus mendakwa antara faktor rombakan Kabinet seperti diumumkan Perdana Menteri kelmarin, adalah untuk melindungi pengaruh Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Rombakan diumumkan Anwar menyaksikan pemimpin kanan Umno beralih portfolio antaranya Zambry yang sebelum ini menjadi Menteri Luar bertukar ke Kementerian Pendidikan Tinggi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang beralih ke Kementerian Pertahanan.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Hasan pula mengambil alih jawatan Zambry sebagai Menteri Luar.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, penstrukturan semula Kabinet adalah perkara biasa bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan.

"Ia tidak ada kaitan dengan soal politik, begitu, begini seperti yang dispekulasi oleh sesetengah pihak. Nak kawal untuk orang tidak bercakap ini amat susah, tetapi paling mustahak adalah tumpuan kita.

"Seperti mana disebut Perdana Menteri, tumpuan kita ialah apa yang perlu kita laksanakan, apa yang sudah beliau tetapkan kerana matlamat dalam Kerajaan Madani ialah untuk memberi yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 11:24 AM