AHMAD Fadhli Shaari. FOTO arkib NSTP
AHMAD Fadhli Shaari. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kekal memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan menerusi rombakan Kabinet hari ini, menunjukkan beliau tidak yakin dengan menteri lain.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan itu juga melanggar janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto lalu iaitu mahu memisahkan jawatan Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan.

"Saya mengharapkan supaya Kabinet ini lebih bersifat proaktif dan praktikal. Saya ambil contoh praktikal iaitu jawatan Menteri Kewangan ini tidak boleh dipegang oleh Perdana Menteri.

"Saya harap portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipecahkan kerana itu yang paling utama. Ia juga paling ingin dilihat oleh rakyat," katanya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau juga melihat dari sudut saiz Kabinet iaitu dulu apabila Kabinet dibentuk pada awalnya dikatakan lebih kecil dan ia menjimatkan duit rakyat.

"Sekarang kalau ia lebih besar apa lagi alasan kerajaan? Kalau tanya saya, saya katakan bahawa besar atau kecil biarlah ia memenuhi keperluan semasa rakyat," katanya.

Anwar juga juga Perdana Menteri kekal memegang portfolio Menteri Kewangan, manakala Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Menteri Kewangan II dan Lim Hui Ying sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:43 PM