KEADAAN semasa di sekitar kawasan Apartment Idaman Damansara Damai susulan penemuan mayat mangsa seorang kanak kanak Autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin. FOTO Eizairi Shamsudin
KEADAAN semasa di sekitar kawasan Apartment Idaman Damansara Damai susulan penemuan mayat mangsa seorang kanak kanak Autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin. FOTO Eizairi Shamsudin
Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) di sini, sudah membantu keluarga kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang juga murid istimewa sekolah itu.

Naib Yang Dipertua PIBG SKDD2, Suhaiza Sulaiman berkata, pihak PIBG selalunya akan turun padang sekiranya berlaku kes seperti kehilangan terutama membabitkan murid sekolahnya.

Menurutnya, pihaknya akan membantu menguar-uarkan di kawasan setempat atau kejiranan.

"Pihak sekolah juga akan memberikan info kepada kami jika ada berlaku kes seperti ini," katanya.

Sementara itu, sebahagian besar 1,420 murid SKDD2 menghulurkan sumbangan bagi membantu keluarga Zayn Rayyan.

Yang Dipertua PIBG SKDD2 Mohamad Emran Sabran berkata, pihaknya memandang serius keselamatan murid dan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Buat masa ini, kami hanya boleh maklumkan kepada guru untuk memastikan murid bergerak dalam kumpulan dan tidak berseorangan.

"Guru-guru juga diarahkan untuk menunggu di pintu masuk dan keluar sekolah.

"Bagi murid istimewa seperti Zayn Rayyan ini pula, guru akan hantar sehingga ke pintu kelas," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, pihak PIBG dan sekolah memang memberi perhatian kepada kes Zayn Rayyan sejak hari pertama dia hilang sehingga sekarang.

"Sumbangan sudah dikumpulkan tetapi terdapat kekangan kerana ibu bapa Zayn Rayyan yang tiada di rumah.

"Jadi, kami rancang untuk melawat dan memberi sumbangan selepas ibu bapanya kembali ke rumahnya dan kes ini semakin reda," katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 2:52 PM