MOTOSIKAL dinaiki dua beradik remuk selepas bertembung lori muatan sawi. Gambar Ihsan Bomba
MOTOSIKAL dinaiki dua beradik remuk selepas bertembung lori muatan sawi. Gambar Ihsan Bomba
Alias Abd Rani


Muar: Wanita maut manakala adiknya parah selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan sawit di hadapan klinik desa, Jalan Bukit Mor, Parit Jawa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa terbunuh dikenali sebagai Norlyana Sharif, 37, selepas terperosok bawah lori manakala adiknya, Mohd Khairul Amri, 27, parah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kemalangan berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Parit Jawa ke Ayer Manis.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang Norlyana dilaporkan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori terbabit.

"Rempuhan itu menyebabkan Norlyana terperosok di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Adiknya pula patah kedua-dua kaki serta luka di kedua tangan dan menerima rawatan di zon kuning.

"Polis meminta kerjasama orang ramai melihat kejadian itu tampil menyalur maklumat bagi membolehkan siasatan dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:50 PM