ANGGOTA bomba berbincang sebelum memulakan operasi pencarian. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba berbincang sebelum memulakan operasi pencarian. FOTO IHSAN BOMBA
Oleh Essa Abu Yamin


Muar: Dua rakan ditemukan selamat selepas lebih empat jam sesat dalam perjalanan turun dari aktiviti mendaki di kawasan Bukit Mor, Parit Jawa di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penguasa Bomba Kanan II Shahrizal Mohtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada jam 9.05 malam.

Katanya, Muhammad Rusydi Rosli, 23 dan rakannya Nurul Nabilah Abu Bakar, 24, berjaya ditemukan selepas pihak bomba melakukan operasi pencarian di atas bukit berkenaan.

Menurutnya, mangsa dikatakan turun dari bukit berkenaan pada jam 6.15 petang bagaimanapun mereka dikatakan terpisah dengan kumpulan pendaki lain ketika tiba di satu simpang.

"Mereka berdua kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum terjumpa sebuah tokong dan kerusi kayu dan mendakwa berpusing di tempat yang sama sehingga jam 7 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizal berkata, mangsa kemudiannya cuba menghubungi talian kecemasan 999 tetapi talian terputus sebelum berjaya menghubungi Balai Polis Parit Jawa untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, seramai orang anggota bersama satu jentera FRT dan dua unit RIM daripada BBP Muar dihantar ke tempat kejadian.

"Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.22 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 4:56 PM