SULTAN Sharafuddin berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 22 anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). FOTO Bernama
SULTAN Sharafuddin berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 22 anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 22 ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais) termasuk empat muka baharu bagi sesi 2024 hingga 2026.

Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, Sultan Sharafuddin berkenan melantik dan menerima menghadap Orang Besar Bergelar Tengku Seri Andika Diraja, Tengku Datuk Iskandar Shah Tengku Ismail Shah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohamad Izam Mohamed Yusof.

Menurutnya, baginda juga berkenan melantik Profesor International Centre Of Education in Islamic Finance (INCEIF), Prof Dr Ashraf Md Hashim dan

Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salasiah Hanin Hamjah.

"Pada masa sama, Sultan Sharafuddin berkenan mengekalkan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai Pengerusi Mais sementara, Orang Besar Daerah Petaling Datuk Emran Kadir pula Timbalan Pengerusi Mais," katanya pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Mais Sesi 2024-2026 yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Menurutnya lantikan itu selaras Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah Subseksyen 11 (1) dan (2) yang bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2026.

Ahli Mais lain adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Turut termasuk, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Salim Soib; Pegawai Kewangan Negeri, Dr Ahmad Fadzil Ahmad Tajudin dan

Ketua Polis Negeri, Datuk Hussien Omar Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 2:41 PM