TERTUDUH (dua kiri) di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Faizul Azlan Razak
TERTUDUH (dua kiri) di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian terhadap rakannya, 19 November lalu.

Tertuduh, Mohd Alias Mokhtar, 39, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian ke atas penganggur berusia 45 tahun dengan niat mendatangkan bencana tubuh yang mungkin membawa kepada kematian.

Mohd Alias didakwa melakukan perbuatan itu di rumah di Kampung Gelugor Kedai, di sini, 8.30 malam 19 November lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 1 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian 19 November lalu, mayat mangsa ditemui pemilik rumah sewa dan hasil bedah siasat mendapati 40 kesan luka pada badan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 1:28 PM