JALAN Sultan Ismail. FOTO Rosdan Wahid
JALAN Sultan Ismail. FOTO Rosdan Wahid
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan perubahan aliran lalu lintas di persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan Raja Laut berkuat kuasa 20 Disember ini.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan kenderaan yang datang dari Bukit Bintang menghala ke Jalan Kuching tidak dibenarkan membelok ke kanan ke Jalan Raja Laut (Chow Kit).

"Kenderaan dari arah tersebut yang ingin ke Chow Kit dikehendaki mengambil susur kiri di persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan Tuanku Abdul Rahman seterusnya menuju ke Jalan Raja Laut melalui Jalan Dang Wangi/Jalan Esfahan.

"Perubahan ini akan berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam 20 Disember ini," menurut kenyataan itu, hari ini.

DBKL memberitahu perubahan itu akan membabitkan pengurangan fasa sistem lampu isyarat di persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan Raja Laut.

Katanya, ia dijangka melancar serta mempercepatkan pergerakan keluar masuk kenderaan dari kawasan pusat bandar pada waktu puncak.

"DBKL sentiasa berusaha untuk melancarkan aliran lalu lintas di Kuala Lumpur mengikut keperluan dan keadaan semasa bagi memastikan aliran trafik khususnya di pusat bandar sentiasa lancar dan teratur," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 4:23 PM