GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Majlis graduasi sekolah menengah dan rendah tidak sepatutnya dianjurkan secara bermewah-mewahan di hotel sehingga menggunakan kos tinggi.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, penganjuran majlis graduasi memang digalakkan, namun tidak perlu berlebihan sehingga membebankan mana-mana pihak terutama ibu bapa.

"Penganjuran majlis graduasi meraikan pelajar ini memang bagus kerana ia satu motivasi kepada pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh di samping mengeratkan silatulrahim antara warga sekolah dan ibu bapa.

"Namun, sekolah atau PIBG janganlah begitu ghairah sampai menggunakan perbelanjaan besar atau buat di tempat mewah macam hotel kerana dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup tinggi ini sudah tentu membebankan terutama ibu bapa B40.

"Lebih elok apa-apa saja penganjuran majlis di sekolah, amalkan budaya kesederhanaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai trend sekolah menganjurkan majlis graduasi murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Lima di hotel.

Keadaan ini membebankan ibu bapa berikutan murid dan pelajar dikenakan bayaran tertentu untuk menyertai majlis itu.

Mohamad Ali berkata, pihak sekolah boleh mengadakan majlis graduasi itu di kawasan sekolah bagi menjimatkan kos perbelanjaan.

"Bagi saya dalam premis sekolah macam dewan atau tapak perhimpunan pun memadai kalau dihias cantik, majlis tetap meriah.

"Pihak sekolah juga boleh menjimatkan perbelanjaan misalnya baju graduasi dipinjam dengan sekolah lain berdekatan atau mungkin memohon pihak swasta setempat membiayai sebahagian daripada kos penganjuran majlis.

"Kemudian, ibu bapa berkemampuan bolehlah berikan sumbangan tetapi bagi golongan B40 bolehlah dikecualikan bayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 1:07 PM