Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika sesi temu bual sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika sesi temu bual sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Peraturan lapuk dalam perkhidmatan awam yang tidak sesuai pada masa kini bakal dipinda bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek khususnya yang memanfaatkan rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) untuk meneliti pindaan peraturan.

Ini kerana, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh setahun menerajui pentadbiran negara, amat menekankan usaha mempercepat pelaksanaan dasar dan projek pembangunan asas rakyat.

"Sebab itu secara sinis, beliau (Anwar) sebut baru-baru ini, beliau kata dalam ucapan kata boleh langgar sedikit (untuk percepat projek) secara sinis.

"Bukannya (bermaksud) langgar peraturan, tetapi nak cepat tetapi pada masa sama tekankan isu tatakelola. Yang tidak boleh dipinda itu hanya al-Quran sahaja, sebaliknya peraturan boleh dipinda," katanya dalam wawancara bersama media sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Anwar berkata pelaksanaan projek-projek pada tahun ini berbanding tahun lepas adalah lebih baik, tetapi belum cukup memuaskan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan telah meminta semua kementerian mempercepatkan pelaksanaan projek-projek yang dirancang sebelum akhir tahun ini.

Mohd Zuki berkata pelaksanaan projek pembangunan sekolah daif menerusi inisiatif Bitara MADANI adalah contoh terbaik dalam mempercepatkan projek yang memanfaatkan rakyat.

Bitara MADANI yang menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) berupaya mempercepat pelaksanaan projek kepada beberapa bulan berbanding lebih setahun sebelum ini.

"Kalau dipendekkan proses dan cepatkan pembangunan. Apa yang dihasratkan (Perdana Menteri) iaitu projek berimpak kepada rakyat dapat dilaksanakan," katanya.

Sebelum ini, Mohd Zuki berkata sebanyak 97.1 peratus atau 8,109 Projek Penyelenggaraan Kecil Kementerian Pendidikan telah memperoleh Surat Setuju terima (SST) berbanding keseluruhan 8,354 projek setakat 31 Oktober lepas.

Projek berstatus siap pula adalah sebanyak 4,764 dengan 3,018 projek dalam pembinaan dan 328 projek digugurkan pelaksanaan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 12:50 PM