Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Ekonomi telah memberi persetujuan bagi pelaksanaan 502 projek Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang melibatkan kos sebanyak RM76.3 juta.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 1,500 projek yang diluluskan secara prinsip oleh kementerian sejak IKR dilancarkan pada 20 Jun 2023 dan sehingga 22 November 2023.

Beliau berkata kelulusan berkenaan diberikan kepada pelbagai agensi pelaksana seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak pembangunan koridor dan perbadanan kemajuan ekonomi negeri bagi tujuan pelaksanaan projek IKR.

"Setakat ini, sebanyak RM57.2 juta telah disalurkan bagi pelaksanaan projek tersebut di seluruh Malaysia dengan Sabah meraih peruntukan tertinggi sebanyak RM21.6 juta dan diikuti oleh Perak RM7.2 juta, Pahang RM6.5 juta, Sarawak RM5.8 juta dan Selangor RM5.3 juta.

"Sebanyak RM2.2 juta disalurkan kepada Kedah; Negeri Sembilan RM2 juta; Johor RM1.96 juta; Melaka RM1.1 juta; Terengganu RM1 juta; Kelantan RM750,000; Perlis RM670,000; Wilayah Persekutuan RM556,000 dan Pulau Pinang RM400,000," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai jumlah perbelanjaan bagi IKR pada 2023 serta butiran perbelanjaan di peringkat negeri.

IKR yang bertujuan mempercepat dan memudahcara pelaksanaan projek-projek kecil untuk kemudahan rakyat, juga membolehkan kalangan individu, wakil rakyat, jabatan-jabatan kerajaan mengenal pasti projek-projek infrastruktur kecil bernilai RM200,000 ke bawah untuk dilaksanakan segera.

Mengulas selanjutnya, Rafizi berkata kelulusan prinsip itu diberikan memandangkan permohonan projek yang diterima melalui aplikasi IKR perlu disemak dan disahkan oleh agensi pelaksana.

"Dalam hal ini, agensi pelaksana perlu melaksanakan siasatan tapak bagi menentukan kebolehlaksanaan projek dan kos projek serta memberikan maklum balas kepada Kementerian Ekonomi untuk penyaluran peruntukan.

"Kementerian akan turut melakukan tindakan susulan dengan pelbagai agensi pelaksana yang dilantik bagi mendapatkan maklum balas terkini pelaksanaan baki projek IKR berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 3:23 PM